Isnin, Ogos 04, 2008

KYM

di atas kanvas ini
kulukis dengan pena yang hampir habis dakwatnya
sebagai permulaan pada cita - citaku.

lalu ku lakar satu persatu penuh berhati - hati
anggota tubuhku semoleknya
dan kubiarkan lukisan itu diwarnakan dengan
merah darah yang mengalir dari jariku

lukisan kanvas ini akan kusimpan di dalam peti
yang tersorok di bawah almari dapurku
agar nanti anak - anakku apabila bermain sorok - sorok
akan menjumpainya dan bertanya kepadaku
bagaimana ia disitu

dan aku akan menceritakannya jika aku masih bernafas
atau mereka mencari sendiri jawapannya bila aku sudah tiada..

Rabu, Jun 18, 2008

harta

harta menentukan darjat
dipunyai orang kerabat
diburu manusia sesat
dicuri penyangak khianat
disimpan golongan korporat

harta tak pernah cukup
mata menjadi redup
dahi mula berkerut
fikiran semakin kusut
bahagia telah diragut

harta banyak mengundang tawa
orang mati kenduri kendara
iri hati dengki menjelma
darah tumpah tiada yang merasa

harta sikit semuanya sakit
air minum digali parit
tulang timbul perutnya buncit
jiwa merana fikiran sempit

harta jangan dinilai banyaknya
pakai untuk yang perlu sahaja
simpan yang lebih untuk masanya
syukur walau dipandang hina

harta semua milik tuhan
banyak sikit dugaan iman
jangan bangga banyaknya hutang
hidup mudah mati dikenang

Selasa, Jun 17, 2008

Isteri

Isteri itu
Dikata orang sebagai beban
dikendong jasad dan ruhnya
setiap langkah perjalanan si suami

Isteri itu
dikata orang harus bersyukur
pelaminnya menutup mulut tempayan
jika tidak digelar andartu

Isteri itu
disuruh orang menjaga diri
maruah dijunjung malu disanjung
budi perkerti menambat emosi

dan si suami itu
hanya perlu memerhati isteri
yang salah diherdik
yang benar diselidik

tanpa ucap terima kasih
tanpa luah penghargaan
berkata hanya pada si isteri
itu semua milik tuhan.

Isnin, Jun 16, 2008

Untuk Anakku

Lahirmu hadiah dari Illahi
kan dikendong seusia dunia ku
penyejuk mata selamanya

tiada lagi sunyiku
bila malam kau menangis
minta ku bacakan isi AlQuran
juga selawat yang dilagukan

tiada lagi malasku
bila kau tidak mahu tidur
minta dibelai manja
gurau senda penuh tawa

tiada lagi lekaku
bila kau demam panas
minta ku carikan penawar
meredah hujan di tengah pekan

Jumaat, Jun 13, 2008

aku

aku ada pendirian
aku ada cita-cita dan impian
aku ada pilihan tersendiri

biarlah aku tentukan hidupku
biarlah aku corakkan wawasanku
biarlah aku aturkan diari harian

aku pilih dari keputusan hatiku
aku fikir dari keputusan akalku
aku melangkah dari keputusan perasaanku

mengapa orang lain menyisihku
mengapa orang lain mengherdikku
mengapa orang lain memulauku

aku egokah
aku gilakah
aku pelikkah

peduli apa aku

Selasa, Jun 10, 2008

Munajat sepertiga malam

Sepi sendirian tanpa teman
Berbisik ke dalam hati
Bicara Tuhan yang lahir dari bibir

Kupeluk tubuhku erat
MenghadapNya dan berkata kepadaNya
Tuhanku
Aku serah diri ini yang tidak punya apa
Lalu kukucup bumi yang selama ini kupijak
Kulucut ego yang siang hari menutup dahiku
Kuganti sejadah lsuh oleh peluhku

Tuhanku
Ku lempar ammarah yang menjerat dada
Selama ini menghimpit sesak pedih
Kuhirup kabus damai dari celahan jendela

Tuhanku
Ku tinggalkan kebobrokan jahil dibenak
Bicaramu ku tutur penuh pengertian
Cahayanya putih membersih kehitaman

Tuhanku
Aku pergi dari kejumudan
Ke lazuardi bahri ilmu dan cinta
Bekalku meniti titian emas ke sana.

Khamis, Jun 05, 2008

Selamatkan pekan ini

Pekan ini diselubungi mendung dari langit Barat
Gerimis yang lembut bersama angin nyaman
Membasahi anak - anakku yang bertatih ke sekolah
Tanpa payung yang melindungi

Pekan ini yang dutumpahi darah merah
Telah suram oleh hitam mendung itu
Memuntahkan batu – batu panas yang tidak terlihat
Membakar disebalik jasad anak – anakku

Tiada lagi angin Timur yang dahulunya berhembus
Bersama laungan Illahi sebagai halwa telinga
Perisai kukuh yang memenjara nafsu ammarah

Tiada lagi panas mentari yang membahang dari Timur
membawa kehausan Ramadhan
Membentuk perilaku Husnul Khatimah

Tiada lagi bicara Illahi yang ditutur
Pemanis mulut yang memutihkan gigi
Sebagai risalah nasihat Toyyibah

Selamatkan pekan ini
Dirikan tembok penghadang di Barat
Dari tinta ilmu dan tahkta
Payungkan anak yang bertatih ke sekolah
Dengan AlQuran yang dijunjung di kepala
Siramkan mereka dengan air hujan dari Timur

Rabu, Jun 04, 2008

perjalanan ini

aku dipadang pasir ini
bersama fikiran celaru jiwa menderita
keluh resah di dada
pedih kulit dibakar matahari

destinasiku terlalu jauh
kota Mekah yang tidak kering air
berpandukan peta yang kugenggam erat ditangan
tidak hirau bisik hatiku untuk berpatah belakang

negeri asalku sudah kutinggalkan
keluarga dan harta telah diamanahkan
pangkat darjat dilupakan
bersamaku ini sudah tidak punyai apa

yang kubawa hanyalah impian
kedestinasiku yang terlalu jauh
kota Mekah yang tidak kering air

Selasa, Jun 03, 2008

hadiah hari jadi

hari jadimu,
tiada majlis yang maraikannya
juga tiada kotak hadiah yang disusun rapi
tiada juga teman yang mengucapkan salam

hari jadimu
hanya sepi yang membelenggu
cuma angin yang menghembus lembut
di kediamanmu yang telah lama tidak dikunjung

anakmu tidak pulang
rakan pejabat tiada yang datang
jiranmu telah lama menghilang
yang tinggal hanya kau seorang

hari jadimu
setiap tahun kan terus begitu
menunggu kepulangan anak - anakmu
bersama hadiah doa yang luhur


Semoga Tuhan mencucuri Rahmat untuk arwah ibuku

Isnin, Jun 02, 2008

syukur dengan dugaannya

kasihnya Illahi memperingatiku..
dengan siksa pedih yang kutanggung sendirian
penebus dosa nan masa lalu

azab ini kurasa nikmat
kerna Illahi masih menyayangiku
redha dan tabah manisnya iman
menempuh liku yang tidak menentu

dugaan itu kupanjatkan syukur
Illahi mengerti kumampu harungi
tiada Dia menganiayai
pengubat duka penguat jiwa..

nukilan ini kutuliskan ketika aku berasa sakit di sebelah kiri kepalaku..

Jumaat, Mei 30, 2008

doa

dimanakah sinar mentari
tatkala aku merangkak lesu
dalam gelita lembah yang gersang ini
.
.
telah lama hujan tidak turun
tapi aku terus alpa
di sini yang kering kontang
.
.
aku berbicara sendiri
menyebut nama Tuhan
tanpa nafas segar
menadah tanganku
mengharapkan simpatiNya.

Khamis, Mei 29, 2008

sahabat sejati

tiada yang mendukacitakan dalam laluan ini
kerana tiada kegagalan yang diwarnakan
oleh sahabat sejati yang memahami
.
.
tanpanya umpama dunia penuh liku
berduri dengan kaki yang tidak berkasut
danau yang amat menakutkan
.
.
tanpanya umpama dunia tiada bicara
bisu dari informasi disekeliling
yang memenjara segala persoalan
.
.
sahabat sejati itu adalah sesiapa
yang pokoknya dalam diri sendiri
sebagai magnet yang selalu memberi

Selasa, Mei 27, 2008

kaulah matahari

ibu..

kau umpama matahari

yang menyinari hari - hariku

dalam menyelusuri kehidupan ini



kini

bila kau menghilang pergi

hidupku umpama malam yang gelita

hanya bertemankan malapnya purnama



dan aku

tak mampu untuk tidur lena

kerana manantikan kau menjelma

sinarnya fajar esok

yang hanya akan ku temui

di sana

Pena Biru

pena biru..
belum tentu dapat kucari
yang ada hanyalah ukiran

kulakar erti perjalanan
belum tentu destinasinya
masih coba kufikirkan